Categories: QE UpdatesPublished On: 09/03/2012

Dalam usaha berterusan Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk menggalakkan dan memperjelaskan peranan semasa Akauntan Profesional dalam Perniagaan (PAIB) terutamanya dalam mengekalkan dan menggalakkan pertumbuhan dalam organisasi masing-masing dan dalam pelbagai sektor industri, Institut Akauntan Malaysia mengumumkan penganjuran Simposium Akauntan dalam Perniagaan (AIB) 2012. Simposium selama dua (2) hari ini ditujukan kepada akauntan profesional dalam perniagaan dan perdagangan, dijadualkan berlangsung dari 21- 22 Mac di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Presiden MIA, Datuk Mohd Nasir Ahmad menyatakan bahawa inisiatif ini akan menyediakan platform kepada PAIB yang juga merupakan peneraju industri untuk merancang strategi bagi mengekalkan dan menggalakkan pertumbuhan dalam organisasi masing-masing.

“Memandangkan profesion ini merupakan barisan hadapan kepada pertumpuan dan pengekalan, PAIB akan bertanggungjawab untuk menggerakkan isu-isu ini dan menjadikannya relevan kepada organisasi mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa peranan akauntan telah bergerak melewati kewangan tulen; para akauntan dikehendaki mendukung amalan berasaskan perniagaan, mahir dalam pembangunan mapan, serta pengurus kepada risiko dan nilai,” menurut Presiden MIA.

Beliau turut menambah bahawa memandangkan MIA ialah rakan proaktif dalam agenda pembangunan negara, pastinya PAIB menjadi agen transformasi dalam banyak organisasi korporat yang beroperasi dirantau ini dan seluruh dunia. Para akauntan ini merupakan mereka yang berkemahiran tinggi dalam organisasi masing-masing memandangkan mereka terlibat dalam proses membuat keputusan menerusi sokongan, perancangan, kawalan perundangan dan penciptaan nilai. Sehubungan dengan itu, MIA memutuskan untuk menganjurkan Simposium AIB 2012 sebagai platform kepada PAIB untuk berinteraksi serta mendapatkan perkembangan terkini terhadap topik-topik sedia ada dan relevan yang memberi kesan kepada organisasi mereka dan peranan yang dimainkan oleh mereka.

Turut ditekankan di simposium ini ialah topik berkaitan dengan urus tadbir korporat, kewangan Islam, pengurusan cukai, pelaporan berintegrasi, maklumat terkini tentang pembangunan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa dan juga perkembangan penting isu-isu ekonomi dan kewangan yang memberi kesan kepada profesion.

Penceramah utama di simposium ini termasuklah Mohammad Faiz Mohammad Azmi, Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysian (MASB), Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengarah Eksekutif & Presiden / CEO, Tenaga Nasional Berhad (TNB); Datuk Paul Low Seng Kuan, Presiden, Transparency International Malaysia; Dr Yeah Kim Leng, Pengurus Besar Kanan & Ketua Ekonomi Kumpulan, RAM Holdings Berhad; Denis Pratt, Head of Accounting Policy, External Positioning, Strategy Group CPA Australia dan Noel Tagoe, Ketua Penyelidikan dan Pembangunan, CIMA United Kingdom.

Maklumat lanjut mengenai simposium ini boleh didapati di www.mia.org.my/aibs.