Login to Circulars

Rules

CHANGE TO ENGLISH VERSION

KAEDAH-KAEDAH INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA (TATATERTIB) 2002

Kaedah-Kaedah ini menyatakan perincian berkaitan proses-proses dan kuasa-kuasa Jawatankuasa Statutori iaitu Jawatankuasa Penyiasatan, Jawatankuasa Disiplin dan Lembaga Rayuan Disiplin yang ditubuhkan berdasarkan Akta Akauntan 1967, dalam menjalankan tugas-tugas dan fungsi-fungsi sebagai usaha mempertingkatkan dan memperkasakan rejim penguatkuasaan Institut berkaitan tindakan disiplin terhadap ahli-ahli yang telah menjalankan tindakan yang tidak profesional dalam menjalankan amalan sebagai Akauntan Bertauliah di Malaysia.

Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Tatatertib) 2002.
(2) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2002.

Tafsiran
2. Bagi maksud Kaedah-Kaedah ini—
“kelakuan tidak profesional” ertinya kelakuan yang mencacatkan nama baik profesion perakaunan dan termasuklah kelalaian melampau, kecuaian dan ketidakupayaan dalam menjalankan kewajipan profesional, ketidaksopanan dalam kelakuan profesional dan kelakuan yang tidak wajar bagi seseorang akauntan;
“orang” termasuklah mana-mana kumpulan orang, diperbadankan atau tidak diperbadankan.

Aduan
3. (1) Tiap-tiap aduan terhadap mana-mana anggota hendaklah ditujukan pertamanya kepada Pendaftar.
(2) Pendaftar hendaklah kemudiannya merujukkan aduan itu kepada Jawatankuasa Penyiasatan setelah aduan itu memenuhi kehendak kaedah 4.
(3) Jika fakta dibawa kepada pengetahuan Majlis yang menunjukkan mana-mana anggota telah melakukan apa-apa perkara yang memerlukan suatu penyiasatan, Majlis boleh mengarahkan Pengerusi Majlis atau mana-mana anggota lain yang dinamakan secara bertulis oleh Majlis bagi maksud ini supaya membuat suatu aduan rasmi kepada Pendaftar yang hendaklah merujukkan aduan itu kepada Jawatankuasa Penyiasatan.
(4) Anggota yang dinamakan secara bertulis oleh Majlis di bawah subkaedah (3) tidak boleh menjadi anggota Jawatankuasa Penyiasatan, Jawatankuasa Tatatertib atau Lembaga Rayuan Tatatertib.

Aduan secara bertulis
4. (1) Tiap-tiap aduan, selain aduan yang dibuat oleh Mahkamah, yang dibuat menurut subkaedah 3(1) hendaklah secara bertulis dan hendaklah mengandungi—
(a) nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor pasport atau nombor pendaftaran pengadu;
(b) fakta tentang aduan;
(c) pengataan terhadap anggota itu; dan
(d) nama atau firma anggota itu.
(2) Tiap-tiap aduan secara bertulis di bawah subkaedah (1) hendaklah disokong oleh—
(a) salinan dokumen, jika ada, yang digunakan untuk menyokong aduan itu; dan
(b) suatu akuan berkanun tentang fakta yang dikatakan oleh pengadu sebagaimana yang dikehendaki oleh Jawatankuasa Penyiasatan dari semasa ke semasa.

Siasatan
5. Jawatankuasa Penyiasatan hendaklah menyiasat apa-apa aduan yang dirujukkan kepadanya di bawah subkaedah 3(2) dan 3(3) dan menentukan sama ada perkara itu hendaklah dirujukkan kepada Jawatankuasa Tatatertib atau tidak.

Notis kepada anggota
6. (1) Sebelum apa-apa aduan disiasat, Pendaftar hendaklah menyebabkan supaya diposkan atau dihantar kepada anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat—
(a) salinan bertulis aduan itu, jika ada, dan semua akuan berkanun tentang fakta yang dibuat untuk menyokong aduan itu; dan
(b) suatu notis yang—
(i) menerangkan apa-apa butir lain yang perlu bagi mendedahkan sebab bagi penyiasatan itu;
(ii) mempelawa anggota yang berkenaan supaya memberikan suatu penjelasan bertulis dalam tempoh empat belas hari dari tarikh notis itu disampaikan kepadanya bagi menjawab aduan yang dikatakan terhadapnya; dan
(iii) menyatakan sama ada anggota yang berkenaan ingin didengar oleh Jawatankuasa Penyiasatan atau tidak.
(2) Penyiasatan hanya akan bermula selepas masa yang dinyatakan dalam notis itu tamat dan Jawatankuasa Penyiasatan hendaklah memberi anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat peluang yang munasabah untuk didengar jika dia berhasrat sedemikian dan hendaklah memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas apa-apa penjelasan yang dibuat olehnya.

Kuasa Jawatankuasa Penyiasatan
7. Bagi maksud sesuatu penyiasatan, Jawatankuasa Penyiasatan boleh—
(a) memanggil atau menggaji mana-mana orang untuk menjalankan apa-apa siasatan permulaan yang difikirkannya perlu;
(b) menghendaki anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat atau mana-mana anggota lain yang boleh membantu penyiasatan itu supaya mengemukakan apa-apa buku, dokumen atau kertas yang boleh dengan munasabah dikehendaki oleh Jawatankuasa Penyiasatan atau oleh orang yang digajikan sedemikian untuk diperiksa; dan
(c) memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah untuk menguatkuasakan perenggan (a) atau (b).

Keengganan oleh anggota adalah suatu kesalahan
8. Mana-mana anggota Institut yang enggan mematuhi perenggan 7(b) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit dan hendaklah dalam apa-apa hal dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib oleh Jawatankuasa Penyiasatan.

Prosiding di hadapan Jawatankuasa Penyiasatan
9. (1) Jika Jawatankuasa Penyiasatan mendapati bahawa terdapat alasan yang mencukupi bagi prosiding tatatertib diambil berkenaan dengan anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat, maka hendaklah menjadi kewajipan Pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan untuk—
(a) merujukkan aduan itu kepada Jawatankuasa Tatatertib; dan
(b) membuat suatu laporan mengenai penyiasatan itu dan menyatakan dapatan fakta kepada Jawatankuasa Tatatertib.
(2) Jika Jawatankuasa Penyiasatan mendapati bahawa keterangan atau alasan yang ada tidak mencukupi bagi prosiding tatatertib diambil terhadap anggota itu, maka hendaklah menjadi kewajipan Jawatankuasa Penyiasatan untuk menolak aduan itu dan pihak-pihak hendaklah diberitahu dengan sewajarnya.
(3) Jawatankuasa Penyiasatan boleh menolak aduan itu di bawah subkaedah (2) tanpa memberikan apa-apa sebab bagi penolakan itu.

Tatacara Jawatankuasa Penyiasatan
10. Tertakluk kepada peruntukan Akta dan Kaedah-Kaedah Institut, Jawatankuasa Penyiasatan hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri sebagaimana yang difikirkannya patut dan perlu atau wajar bagi pelaksanaan kewajipannya.

Laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penyiasatan
11. Jika Jawatankuasa Tatatertib berpendapat bahawa laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penyiasatan tidak jelas dalam apa-apa perkara tertentu atau bahawa penyiasatan lanjut dikehendaki, perkara itu boleh dirujukkan semula kepada Jawatankuasa Penyiasatan untuk menjalankan penyiasatan lanjut dan untuk membuat laporan lanjut.

Notis kepada anggota
12. Apabila laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penyiasatan diterima, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah menyebabkan supaya diposkan atau dihantar kepada anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat—
(a) suatu salinan laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penyiasatan dan dokumen lain yang difikirkan berkaitan oleh Jawatankuasa Tatatertib;
(b) suatu notis pendengaran tatatertib yang memberitahu anggota itu tarikh, masa dan tempat di mana prosiding pendengaran terhadapnya hendaklah dijalankan;
(c) suatu notis yang memberitahu anggota itu bahawa dia akan diberi suatu peluang untuk didengar dan untuk memeriksa atau memeriksa balas saksi; dan
(d) suatu notis kepada anggota itu bahawa dia boleh, tertakluk kepada kaedah 14, dibenarkan diwakili oleh seorang peguam bela dan peguam cara atau oleh seorang anggota Institut.

Ketidakhadiran pihak-pihak di hadapan Jawatankuasa Tatatertib
13. Jika anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat gagal untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan bagi pendengaran tatatertib itu tanpa apa-apa alasan yang sah dan Jawatankuasa Tatatertib berpuas hati bahawa notis mengenai pendengaran tatatertib itu telah diberikan mengikut perenggan 12(b), Jawatankuasa Tatatertib boleh terus mendengar aduan itu semasa ketiadaannya.

Hak untuk diwakili
14. (1) Anggota yang terhadapnya aduan itu dibuat hendaklah memberitahu Jawatankuasa Tatatertib secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum pendengaran tatatertib itu sama ada dia bercadang untuk diwakili oleh seorang peguam bela dan peguam cara pada pendengaran itu atau tidak.
(2) Jika anggota itu gagal memberitahu Jawatankuasa Tatatertib mengikut subkaedah (1) dan diwakili oleh seorang peguam bela dan peguam cara pada pendengaran tatatertib itu, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengunakan budi bicaranya sama ada untuk menangguhkan pendengaran itu atau tidak bagi membolehkan Jawatankuasa Tatatertib mengguna khidmat seorang peguam bela dan peguam cara menurut kaedah 15.
(3) Jawatankuasa Penyiasatan berhak melantik seorang wakil atau seorang peguam bela dan peguam cara untuk hadir bagi pihaknya pada pendengaran tatatertib itu.

Pelantikan peguam bela dan peguam cara
15. Jawatankuasa Tatatertib boleh melantik seorang peguam bela dan peguam cara yang boleh hadir pada mana-mana pendengaran tatatertib untuk menasihati Jawatankuasa Tatatertib.

Keterangan lisan
16. Keterangan di hadapan Jawatankuasa Tatatertib hendaklah diberikan secara lisan atau, jika Jawatankuasa Tatatertib berpendapat ia perlu bagi membolehkan perkara itu dipertimbangkan dengan lebih baik, melalui afidavit bersumpah.

Tatacara Jawatankuasa Tatatertib
17. Tertakluk kepada peruntukan Akta dan Kaedah-Kaedah Institut, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri sebagaimana yang difikirkannya patut dan perlu atau wajar bagi pelaksanaan kewajipannya.

Kuasa Jawatankuasa Tatatertib
18. (1) Apabila suatu aduan dirujukkan kepada Jawatankuasa Tatatertib menurut subkaedah 9(1) dan selepas siasatan wajar dibuat mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah ini didapati mana-mana anggota Institut bersalah atas kelakuan tidak profesional, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengenakan mana-mana satu atau mana-mana kombinasi hukuman tatatertib yang dinyatakan dalam subkaedah (3).
(2) Jika sesuatu fakta dikemukakan terus kepada pengetahuan Jawatankuasa Tatatertib dan selepas siasatan wajar dibuat mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah ini, Jawatankuasa Tatatertib berpuas hati bahawa mana-mana anggota Institut telah—
(a) mengaku bersalah atau didapati bersalah di hadapan sesuatu Mahkamah undang-undang di Malaysia atau di mana-mana negara yang penghakimannya boleh didaftarkan di Malaysia atas—
(i) kelakuan tidak profesional; atau
(ii) suatu kesalahan yang melibatkan fraud atau kecurangan;
(b) menjadi bankrap; atau
(c) dalam tiga tahun sebelum tarikh Jawatankuasa Tatatertib bercadang untuk menjalankan kuasa tatatertibnya di bawah kaedah ini, secara individu atau sebagai seorang pekongsi, telah menyerahakkan secara substansial keseluruhan estetnya bagi faedah pemiutangnya atau telah di bawah apa-apa surat ikatan atau surat cara menyerahkan secara substansial keseluruhan estetnya kepada seorang pemegang serah hak atau pemegang amanah bagi faedah pemiutangnya atau telah membuat apa-apa perkiraan bagi pembayaran suatu komposisi kepada pemiutangnya,
Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengenakan mana-mana satu atau mana mana kombinasi hukuman tatatertib yang dinyatakan dalam subkaedah (3).
(3) Bagi maksud subkaedah (1) dan (2), Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk mengenakan mana-mana satu atau mana-mana kombinasi hukuman tatatertib yang berikut:
(a) tertakluk kepada peruntukan subkaedah (4), memerintahkan nama anggota itu dikeluarkan daripada daftar dan dia hendaklah terhenti menjadi seorang anggota Institut;
(b) tertakluk kepada peruntukan subkaedah (4), menggantung anggota itu selama suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun;
(c) memerintahkan sijil amalan anggota itu dibatalkan;
(d) mengenakan ke atas anggota itu suatu denda tidak melebihi lima ribu rlnggit;
(e) memerintahkan anggota itu diberi amaran, dicela atau ditegur;
(f) memerintahkan anggota itu supaya membayar kepada Institut sejumlah wang yang difikirkannya patut dan munasabah berkenaan dengan kos dan perbelanjaan bagi dan yang bersampingan dengan apa-apa pendengaran tatatertib di hadapan Jawatankuasa Tatatertib dan apa apa penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Penyiasatan; atau
(g) memerintahkan anggota itu supaya menghadiri suatu kursus pengajaran yang diluluskan oleh Jawatankuasa Tatatertib selama suatu tempoh masa yang hendaklah ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib.
(4) Peruntukan perenggan (3)(a) dan (3)(b) tidak terpakai bagi anggota itu jika kesalahan telah dilakukan sebelum tarikh pendaftarannya sebagai seorang anggota Institut dan bahawa Majlis sedar mengenai sabitannya berkenaan dengan kesalahan itu sebelum tarikh pendaftaran itu.
(5) Tiada hukuman di bawah perenggan (3)(d) boleh dikenakan jika anggota itu telah disabitkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis oleh mana-mana Mahkamah bagi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan atau denda.
(6) Jawatankuasa Tatatertib hendaklah, jika diminta secara bertulis oleh anggota itu, mengkaji semula kos dan perbelanjaan yang dikenakan di bawah perenggan (3)(f) dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh permintaan itu dan kajian semula itu adalah muktamad.
(7) Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib di bawah kaedah ini hendaklah secara bertulis.

Pemulaan keputusan
19. (1) Apa-apa keputusan Jawatankuasa Tatatertib hendaklah bermula apabila habis tempoh dua puluh satu hari dari tarikh keputusan itu dimaklumkan kepada anggota itu.
(2) Jika suatu rayuan telah dibuat oleh mana-mana anggota yang terkilan terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengikut peruntukan seksyen 21 Akta dan Bahagian IV Kaedah-Kaedah ini, rayuan itu hendaklah berkuat kuasa sebagai suatu penggantungan keputusan Jawatankuasa Tatatertib melainkan jika Lembaga Rayuan Tatatertib memerintahkan selainnya.

Tempoh penggantungan
20. (1) Seseorang anggota Institut yang digantung di bawah perenggan 18(3)(b) hendaklah terhenti menjadi anggota Institut dan apabila habis tempoh penggantungannya, hak dan keistimewaannya sebagai seorang anggota Institut hendaklah dipulihkan dengan serta-merta.
(2) Anggota itu hendaklah terhenti menikmati apa-apa faedah yang diberikan oleh Institut kepada anggotanya semasa tempoh penggantungan itu.

Pembayaran fi selama tempoh penggantungan
21. Seseorang anggota yang keanggotaannya telah digantung atau sijil amalannya dibatalkan, hendaklah terus membayar segala fi yang genap masa dan kena dibayar semasa tempoh penggantungan atau pembatalan itu dan hendaklah tertakluk kepada semua peruntukan Akta, kaedah-kaedah, undang-undang kecil Institut dan kewajipan berkanun lain yang terpakai semasa tempoh itu.

Penyerahan sijil
22. Seseorang anggota yang namanya telah dikeluarkan daripada daftar di bawah kaedah 6 atau 7 Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Keanggotaan dan Majlis) 2001 [P.U.(A) 343/01] atau keanggotaannya telah digantung atau sijil amalannya telah dibatalkan di bawah Kaedah-Kaedah ini, hendaklah menyerahkan sijil keanggotaan atau sijil amalannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kepada Pendaftar, dalam masa empat belas hari dari tarikh pemberitahuan pengeluaran, penggantungan atau pembatalan itu.

Penerimaan masuk semula
23. (1) Mana-mana orang yang namanya telah dikeluarkan dari daftar di bawah kaedah 18 boleh memohon kepada Majlis selepas habis tempoh tidak kurang daripada lima tahun namanya dikeluarkan daripada daftar bagi penerimaan masuk semula sebagai seorang anggota.
(2) Apabila suatu permohonan bagi penerimaan masuk semula di bawah subkaedah (1) diterima, Majlis hendaklah menggunakan budi bicaranya dalam menimbangkan permohonan itu dan keputusan Majlis adalah muktamad.

Perintah Mahkamah
24. Majlis boleh memohon kepada Mahkamah bagi mendapatkan suatu perintah yang hendaklah dikenakan ke atas mana-mana anggota yang gagal untuk menyerahkan sijil keanggotaan atau sijil amalan mengikut kaedah 22.

Hutang kepada Institut
25. Tiap-tiap penalti wang yang dikenakan dan semua kos dan perbelanjaan yang kena dibayar di bawah Kaedah-Kaedah ini hendaklah boleh didapatkan sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada Institut.

Hak untuk merayu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib
26. (1) Suatu notis rayuan kepada Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah secara bertulis dan menyatakan alasan rayuan.
(2) Alasan rayuan tidak boleh dipinda kecuali dengan kebenaran Lembaga Rayuan Tatatertib.
(3) Tiada rayuan boleh dibuat semata-mata atas persoalan kos yang dikenakan menurut apa-apa keputusan atau perintah Jawatankuasa Tatatertib.
(4) Sebelum atau apabila memberikan notis rayuan menurut subseksyen 21(1) Akta, anggota yang merayu terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib hendaklah membayar apa-apa dan segala kos yang diperintahkan oleh Jawatankuasa Tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah ini dan kegagalan untuk berbuat demikian boleh menidaksahkan notis itu.

Tatacara rayuan
27. (1) Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah, dengan secepat yang dapat dilaksanakan selepas menerima notis rayuan, memberi anggota yang merayu terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib suatu peluang untuk membuat suatu representasi bertulis dalam masa yang ditetapkan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib.
(2) Jawatankuasa Penyiasatan hendaklah kemudiannya membuat representasi bertulisnya kepada Lembaga Rayuan Tatatertib dalam masa yang ditetapkan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib.
(3) Selepas representasi bertulis itu diterima atau sekiranya anggota yang merayu terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib itu gagal untuk mengemukakan suatu representasi bertulis, Lembaga Rayuan Tatatertib boleh, apabila berpuas hati bahawa subkaedah (1) telah dipatuhi, terus menimbangkan rayuan itu.
(4) Lembaga Rayuan Tatatertib boleh melantik seorang peguam bela dan peguam cara untuk membantu dalam apa-apa perkara yang berhubungan dengan rayuan itu.

Kuasa Lembaga Rayuan Tatatertib
28. (1) Dalam menimbangkan sesuatu rayuan, Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah mengambil kira rekod keterangan yang diberikan di hadapan dan dokumen yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Tatatertib pada pendengaran tatatertib itu.
(2) Lembaga Rayuan Tatatertib boleh, jika difikirkannya adil dan perlu, menggunakan budi bicaranya untuk meminta keterangan baru dikemukakan.
(3) Apabila suatu keputusan dicapai mengenai sesuatu rayuan Lembaga Rayuan Tatatertib mempunyai budi bicara untuk memerintahkan supaya keputusan itu bermula dan tarikh keputusan itu dibuat atau pada suatu tarikh yang terkemudian yang hendaklah dinyatakan dalam perintah itu.
(4) Suatu pemberitahuan perintah yang dibuat di bawah subkaedah (3) hendaklah diberikan kepada anggota yang merayu terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib itu dengan secepat yang dapat dilaksanakan.
(5) Lembaga Rayuan Tatatertib boleh memerintahkan anggota yang berkenaan supaya membayar kos dan perbelanjaan bagi dan yang bersampingan dengan rayuan itu.
(6) Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah, jika diminta secara bertulis oleh anggota itu, mengkaji semula kos dan perbelanjaan yang diperintahkan di bawah subkaedah (5) dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh permintaan itu dan kajian semula itu adalah muktamad.
(7) Apa-apa kos dan perbelanjaan yang diperintahkan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib di bawah subkaedah (5) hendaklah dibayar dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh perintah itu dan boleh didapatkan sebagai suatu hutang kepada Institut mengikut kaedah 25.

Tatacara Lembaga Rayuan Tatatertib
29. Tertakluk kepada peruntukan Akta dan Kaedah-Kaedah Institut, Lembaga Rayuan Tatatertib hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri sebagaimana yang difikirkannya patut dan perlu atau wajar bagi pelaksanaan kewajipannya.

Keputusan Jawatankuasa Tatatertib
30. (1) Jika Jawatankuasa Tatatertib menjalankan kuasanya terhadap seseorang anggota yang mengakibatkan suatu hukuman dikenakan ke atas anggota itu di bawah kaedah 18, dan keputusan Jawatankuasa Tatatertib telah berkuat kuasa, Majlis hendaklah menyebabkan supaya nama anggota yang melakukan kesalahan itu dan keputusan Jawatankuasa Tatatertib disiarkan dalam—
(a) Warta;
(b) penerbitan rasmi Institut;
(c) surat khabar harian yang hendaklah ditentukan oleh Majlis; dan
(d) apa-apa penerbitan lain yang ditentukan oleh Majlis.
(2) Sebagai tambahan kepada subkaedah (1), Majlis hendaklah memberitahu—
(a) semua pihak berkuasa pelesenan kerajaan yang berkaitan;
(b) mana-mana persatuan akauntan lain yang dengannya anggota itu bersekutu; dan
(c) mana-mana badan, yang diperbadankan atau tidak diperbadankan,
mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan hukuman tatatertib yang dikenakan ke atas anggota itu.

Perintah Lembaga Rayuan Tatatertib
31. (1) Jika Lembaga Rayuan Tatatertib membuat suatu perintah menurut kaedah 28 yang—
(a) mengesahkan atau mengubah keputusan Jawatankuasa Tatatertib, Majlis hendaklah, mengikut mana-mana yang berkenaan, menyebabkan perintah itu disiarkan dengan secepat yang dapat dilaksanakan dan memberitahu pihak-pihak yang berkaitan; atau
(b) mengakaskan keputusan Jawatankuasa Tatatertib, tiada penyiaran atau penyebaran maklumat berkenaan dengan perintah itu perlu melainkan jika diminta secara bertulis oleh anggota yang merayu terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang Majlis hendaklah, dengan secepat yang dapat dilaksanakan, menyebabkan perintah itu disiarkan dan memberitahu pihak-pihak yang berkaitan.
(2) Penyiaran atau penyebaran maklumat di bawah subkaedah (1) hendaklah mengikut peruntukan kaedah 30.

General

Pembatalan
32. Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Tatatertib) 2002 [ P.U(A) 16/2002] dibatalkan.

Made 5 May 2002[P.P(S)0.381/Sj.1/J1d. 1(34); PN(PU²)229/III] Malaysian Institute of Accountants
Approved.

ABDUL SAMAD BIN HAJI ALIAS,
President,
Malaysian Institute of Accountants.

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD,
Minister of Finance

Act

An Act to provide for the registration of accountants and matters connected therewith.

Learn More

By-Laws

On Professional Ethics, Conduct and Practice of the Malaysian Institute of Accountants. Amended as at 20 May 2020.

Learn More

Standards

The Malaysian Approved Standards On Quality Control, Auditing, Review, Other Assurance And Related Services.

Learn More