Login to Circulars

Rules

Change to English Version

KAEDAH-KAEDAH INSTITUT AKAUNTAN MALAYSIA (KEANGGOTAAN DAN MAJLIS) (PINDAAN) 2023

PADA menjalankan kuasa yang diberikan di bawah seksyen 7 Akta Akauntan 1967 [Akta 94], Institut Akauntan Malaysia, dengan kelulusan Menteri, membuat kaedah-kaedah yang berikut:

1.

(1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Keanggotaan dan Majlis) (Pindaan) 2023.
(2) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2023.

2. Kaedah-Kaedah Institut Akauntan Malaysia (Keanggotaan dan Majlis) 2001 [P.U. (A) 343/2001], yang disebut “Kaedah-Kaedah ibu” dalam Kaedah-Kaedah ini, dipinda dengan memasukkan sebelum kaedah 10 kaedah yang berikut:

“Pengemukaan atau penyerahan melalui medium elektronik
9A.

(1) Apa-apa notis, borang atau dokumen lain yang perlu dikemukakan atau diserahkan kepada atau oleh anggota, Majlis, Pendaftar atau Institut di bawah Bahagian ini boleh dibuat melalui medium elektronik.
(2) Notis, borang atau dokumen lain yang dikemukakan atau diserahkan mengikut subkaedah (1) hendaklah dianggap telah disampaikan jika notis, borang atau dokumen lain itu dihantar ke alamat elektronik anggota, Majlis, Pendaftar atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebagaimana yang direkodkan oleh Institut.”.

3. Kaedah 10 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-

(a) dalam subkaedah (1), dengan menggantikan perkataan “urusan yang akan dijalankan dalam” dengan perkataan “agenda”; dan
(b) dengan menggantikan subkaedah (2) dengan subkaedah yang berikut:
“(2) Walau apa pun subkaedah (1), Majlis hendaklah menyebabkan suatu notis sementara tarikh setiap mesyuarat agung tahunan diberikan kepada anggota sekurang-kurangnya empat puluh sembilan hari genap sebelum mesyuarat agung tahunan itu.
(3) Notis sementara yang disebut dalam subkaedah (2) boleh termasuk pemberitahuan bagi pencalonan anggota untuk dipilih sebagai seorang anggota Majlis dan cadangan apa-apa usul oleh mana-mana anggota untuk pertimbangan mesyuarat agung tahunan.”.

4. Kaedah 11 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dengan memotong perkataan “mesyuarat agung yang pertama dan”; dan
(b) dalam perenggan (d), dengan menggantikan perkataan “melantik anggota Majlis” dengan perkataan “mengisytiharkan anggota Majlis yang dilantik”.

5. Subkaedah 12(1) Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan menggantikan perkataan “empat belas hari” dengan perkataan “tiga puluh lima hari genap”.

6. Kaedah 17 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dengan memotong perenggan (b); dan
(b) dalam perenggan (e), dengan menggantikan perkataan “telah diserahkan di pejabat berdaftar Institut” dengan perkataan “telah dikemukakan kepada Institut mengikut cara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis”.

7. Kaedah 18 Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memasukkan selepas subkaedah (1) subkaedah yang berikut:
“(1A) Proses secara angkat tangan dan pungutan undi yang disebut dalam subkaedah (1) boleh dibuat dalam bentuk fizikal atau melalui medium elektronik.”.

8. Kaedah 20 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dengan memotong subkaedah (2); dan
(b) dengan menggantikan subkaedah (3) dengan subkaedah yang berikut:
“(3) Kertas pencalonan hendaklah ditandatangani oleh-
(a) lima orang anggota yang layak mengundi; dan
(b) anggota yang dicalonkan dalam kertas pencalonan menyatakan persetujuannya kepada pencalonan itu dan kesediaan untuk berkhidmat bagi Institut.”

9. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memotong kaedah 21.

10. Kaedah 22 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dalam nota bahu, dengan menggantikan perkataan “Pencalonan bagi pemilihan” dengan perkataan “Pemilihan anggota”; dan
(b) dalam subkaedah (2), dengan menggantikan perkataan “dengan menggunakan kertas undi mengikut cara yang diperuntukkan dalam Kaedah-Kaedah ini” dengan perkataan “mengikut kaedah 25”.

11. Kaedah 24 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dalam nota bahu, dengan memasukkan selepas perkataan “dalam pemilihan” perkataan “anggota”; dan
(b) dengan memasukkan selepas subkaedah (2) subkaedah yang berikut:
“(3) Dalam keadaan terdapat bilangan undi yang sama banyak, sebelum perisytiharan di bawah perenggan 11(d), Pengerusi mesyuarat agung tahunan hendaklah mengumumkan kepada anggota keadaan tersebut, dan Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi biasanya.”.

12. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan menggantikan kaedah 25 dengan kaedah yang berikut:
“Pengundian melalui medium elektronik
25.

(1) Pemilihan anggota Majlis mengikut subkaedah 22(2) atau pemecatan anggota Majlis menurut kaedah 32 hendaklah ditentukan dengan cara pengundian melalui medium elektronik.
(2) Bagi maksud kaedah ini, Pendaftar hendaklah, tidak kurang dari dua puluh satu hari genap sebelum mesyuarat agung tahunan, menyebabkan undi elektronik disediakan kepada setiap anggota yang layak mengundi.
(3) Tatacara yang berhubungan dengan pengundian yang disebut dalam subkaedah (1) hendaklah sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis dan
boleh termasuk-
(a) tarikh tutup pengundian;
(b) bentuk undi elektronik;
(c) pembuangan undi melalui undi elektronik secara dalam talian; dan
(d) pengendalian dan penyimpanan undi elektronik yang telah lengkap.
(4) Mana-mana undi elektronik yang tidak mematuhi tatacara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis di bawah subkaedah (3) hendaklah tidak sah dan terbatal.”.

13. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memotong kaedah 26.

14. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan memotong kaedah 27.

15. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan menggantikan kaedah 28 dengan kaedah yang berikut:
“Pengiraan undi oleh pemeriksa undi
28.

(1) Pemeriksa undi hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh selepas tarikh tutup pengundian, memeriksa undi elektronik untuk menentukan bahawa tatacara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis di bawah subkaedah 25(2) telah dipatuhi dan hanya selepas itu undi elektronik boleh dikira.
(2) Pemeriksa undi hendaklah menolak mana-mana undi elektronik yang tidak mematuhi tatacara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis di bawah subkaedah 25(2).
(3) Keputusan pemeriksa undi mengenai kesahan mana-mana undi elektronik adalah muktamad.
(4) Pemeriksa undi hendaklah memaklumkan Pengerusi mesyuarat agung tahunan keputusan pengundian itu dan Pengerusi hendaklah, tertakluk kepada subkaedah 24(3), membuat perisytiharan di bawah perenggan 11(d).”.

16. Kaedah 29 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dengan menggantikan subkaedah (1) dengan subkaedah yang berikut:
“(1) Pemeriksa undi hendaklah membuat dan menandatangani suatu laporan yang menyatakan-

(a) jumlah bilangan undi elektronik yang diterima daripada anggota yang layak mengundi mengikut subkaedah 25(2), jumlah bilangan undi elektronik yang ditolak dan sebab penolakan;
(b) jumlah bilangan undi setiap anggota yang dicalonkan; dan
(c) nama anggota yang dicalonkan yang telah dipilih dengan sewajarnya.”; dan
(b) dalam subkaedah (4), dengan menggantikan perkataan “Kertas undi yang sempurna dikira mengikut kaedah 28” dengan perkataan “Data pengundian di bawah kaedah 28”.

17. Kaedah 32 Kaedah-Kaedah ibu dipinda-
(a) dalam subkaedah (2), dengan menggantikan perkataan “daripada mereka yang layak mengundi pada suatu mesyuarat agung melalui suatu undian” dengan perkataan “undi yang diterima daripada anggota yang layak mengundi dengan cara pengundian mengikut tatacara yang disebut dalam kaedah 25”;
(b) dalam subkaedah (3), dengan menggantikan perkataan “mesyuarat agung mengenai usul mencadangkan suatu ketetapan” dengan perkataan “undi elektronik disediakan kepada anggota bagi maksud menentukan ketetapan itu”; dan
(c) dengan memasukkan selepas subkaedah (3) subkaedah yang berikut:
“(4) Keputusan pengundian yang dijalankan dalam menentukan ketetapan dalam kaedah ini hendaklah diisytiharkan mengikut cara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis.”.

18. Kaedah-Kaedah ibu dipinda dengan menggantikan kaedah 34 dengan kaedah yang berikut:
“Minit mesyuarat agung tahunan
34. (1) Setiap minit prosiding mesyuarat agung tahunan termasuk semua ketetapan dan usul hendaklah direkodkan sebaiknya.
(2) Minit prosiding yang disebut dalam subkaedah (1) hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi mesyuarat agung tahunan yang berkenaan atau oleh Pengerusi mesyuarat agung tahunan yang kemudiannya dan hendaklah menjadi keterangan yang mencukupi mengenai prosiding mesyuarat agung tahunan itu.”.

Act

An Act to provide for the registration of accountants and matters connected therewith.

Learn More

By-Laws

On Professional Ethics, Conduct and Practice of the Malaysian Institute of Accountants. Amended as at 20 May 2020.

Learn More

Standards

The Malaysian Approved Standards On Quality Control, Auditing, Review, Other Assurance And Related Services.

Learn More