Categories: QE UpdatesPublished On: 12/03/2012

Ekonomi dunia kini terus berhadapan situasi tidak menentu kesan daripada krisis kewangan global. Ketidakstabilan pasaran modal, dan isu-isu lain yang melibatkan pengukuran dan penzahiran dedahan kepada hutang kerajaan asing bagi negara-negara mundur, terus menyebabkan ketidakpastian. Kesan daripada isu-isu dan ketidakpastian ini telah memberi implikasi pelaporan kewangan yang luas yang kerap kali melangkaui sempadan negara.

Semua ini, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu menyebabkan cabaran unik kepada pengurusan organisasi, terutamanya peranan Akauntan Profesional dalam Perniagaan (PAIB) dan juga mereka yang terlibat dalam urus tadbir, dalam menjalankan tanggungjawab mereka, termasuklah menilai kebolehan entiti untuk terus menggerakkan pembangunan mapan dalam suasana perniagaan masa kini.

Berikutan perkembangan semasa, Institut Akauntan Malaysia (MIA) mengingatkan para ahli tentang tanggungjawab penting mereka untuk bertindak balas kepada peningkatan permintaan dari para pelabur terhadap maklumat berkaitan kewangan, urus tadbir, persekitaran dan sosial, serta mencadangkan bagaimana PAIB boleh memberi sokongan yang lebih kepada organisasi mereka dalam memberi maklum balas kepada permintaan ini, dan seterusnya meningkatkan pengurusan organisasi.

Menurut Presiden MIA, Datuk Mohd Nasir Ahmad, “Memandangkan akauntan profesional bertindak menyokong dan mengisi peranan pemimpin dalam operasi dan kawalan pengurusan, juga sebagai komunikasi pihak-pihak berkepentingan, mereka adalah orang yang tepat untuk menggunakan disiplin perakaunan untuk menganalisa pelaporan data strategi, juga menyokong penggabungan maklumat-maklumat ini kepada proses, sistem dan pelaporan pengurusan organisasi.

“Penglibatan mereka dalam perbaiki kerelevanan dan kualiti pelaporan perniagaan dalaman dan luaran organisasi mereka amat penting untuk menghadapi cabaran dalam meningkatkan penggunaan maklumat ini.”

Selaras dengan perkembangan ini dan untuk memastikan PAIB mampu bertindak balas dengan peningkatan permintaan pasaran, terutamanya pada masa kini apabila keperluan kawal selia kewangan yang semakin rumit, MIA akan menganjurkan Simposium Akauntan dalam Perniagaan (AIB) 2012. Simposium selama dua hari ini yang ditujukan kepada akauntan profesional dalam perniagaan dijadualkan berlangsung dari 21-22 Mac di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Penceramah terkemuka di simposium ini termasuklah Mohammad Faiz Mohammad Azmi, Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysian (MASB), Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengarah Eksekutif & Presiden / CEO, Tenaga Nasional Berhad (TNB); Datuk Paul Low Seng Kuan, Presiden, Transparency International Malaysia; Dr Yeah Kim Leng, Pengurus Besar Kanan & Ketua Ekonomi Kumpulan, Ram Holdings Berhad; Denis Pratt, Head of Accounting Policy, External Positioning, Strategy Group CPA Australia dan Noel Tagoe, Ketua Penyelidikan dan Pembangunan, CIMA United Kingdom.

Maklumat lanjut mengenai simposium ini boleh didapati di www.mia.org.my/aibs.